Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan dua mata di hadapan City yang akan bertandang ke Turf Moor untuk menentang Burnley pada Ahad.
The Reds hanya memerlukan 15 saat untuk berada di depan menerusi pemain baru, Naby Keita yang memaksa pertahanan Huddersfield membuat kesilapan sebelum menyudahkan hantaran Mohamed Salah.
Sadio Mane kemudian menjaringkan gol kedua Liverpool selepas menanduk hantaran silang Andy Robertson pada minit ke-23, sebelum Salah menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung di babak kedua, Mane sekali lagi menemui jaring apabila menanduk masuk gol keempat Liverpool hasil hantaran kapten pasukan, Jordan Henderson.
Robertson sekali lagi membantu pasukannya mendapatkan gol dalam perlawanan ini selepas menghantar bola kepada Salah untuk menjaringkan gol kelima pasukan tuan rumah.
Dengan jaringan tersebut, Salah muncul penjaring terbanyak EPL setakat ini dengan 21 gol, diikuti Mane di tempat kedua dengan 20 gol.
Huddersfield yang sudahpun tersingkir dari EPL, menghuni di tangga tercorot liga dengan 14 mata.
Perlawanan ini turut menyaksikan Alex Oxlade-Chamberlain kembali beraksi untuk skuad utama Liverpool apabila masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-73.
Oxlade-Chamberlain tidak beraksi sejak April 2018 akibat kecederaan di bahagian lutut.