Human Voyage sangkal dakwaan PKBM

KETUA Pegawai Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa, menafikan pihaknya membelakangkan penglibatan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) seperti yang didakwa presiden badan induk itu, Datuk Abu Samah Wahab.

Ahmad menjelaskan setakat lapan peringkat saingan yang berakhir Sabtu, tiada sebarang aduan kedengaran daripada pihak komisar dan wakil Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Sebaliknya, pihak penganjur mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan dan tidak melanggar sebarang protokol yang didakwa PKBM.

Human Voyage juga tidak mengetepikan pihak PKBM ketika perlepasan peringkat terakhir di Pulau Langkawi pada Sabtu apabila kelibat Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, turut kelihatan mewakili badan induk itu sejak beberapa peringkat sebelum ini.

“Datuk Amarjit kelihatan dalam beberapa peringkat saingan LTdL. Kami tidak menerima sebarang aduan daripada UCI dan kami tidak melakukan sebarang kesalahan,” kata Ahmad lagi.

Bagaimanapun, Human Voyage menghormati pandangan PKBM dan akan membuat perbincangan bersama badan induk itu ketika sesi pascanilai untuk penambaikan saingan untuk tahun hadapan.

Human Voyage menandatangani kontrak dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan LtDL selama tiga tahun sehingga 2021.

“Kami mengetahui peraturan yang telah ditetapkan. Usaha kami adalah untuk menganjurkan LTdL dengan lebih baik lagi tahun depan,” katanya lagi.