MMA: Edilah kekal bersemangat selepas tewas, mahu kembali lebih kuat

SINGAPURA: Satu acara seni bela diri campuran (MMA), iaitu ONE Warrior Series 6 anjuran ONE Championship telah berlangsung pada Khamis lalu.

Acara yang diadakan di Singapura itu menampilkan dua petarung MMA dari Malaysia iaitu Jace Law dan Edilah Johany.

Jace Law berjaya membawa pulang kemenangan menerusi TKO seawal saat ke enam pada pusingan pertama.

Namun bagi Edilah pula, nasib tidak menyebelahi petarung dari Sabah ini.

Edilah terkandas di pusingan ketiga di mana dia tewas di tangan Ji Yeon Seo yang berasal dari Korea Selatan menerusi TKO.

Walaupun tidak berjaya memperolehi kemenangan, Edilah menerusi laman Instagramnya tetap positif dan kekal bersemangat dalam meneruskan kerjayanya sebagai petarung MMA.

“Saya tidak berjaya memperolehi kemenangan. Tetapi saya mendapat satu lagi perkara yang paling penting untuk menjadikan saya seorang artis bela diri iaitu kecekalan,” kata Edilah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih pada jurulatih, rakan sepasukan, rakan-rakan dan ahli keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu saya ketika kem latihan. Terima kasih juga kepada penaja atas tajaan dan kepercayaan.

“Saya akan kembali dengan lebih kuat dan akan kembali untuk menang,” kata Edilah lagi, mengakhiri mesejnya dengan kata-kata semangat.

Dengan kekalahan ini, Edilah yang berusia 26 tahun kini memegang rekod MMA 2-3.

Mari kita bersama-sama memberi kata semangat dan sokongan padu pada Edilah.